|
SEJARAH PENUBUHAN SMK KAPIT NO.2Sehingga tahun 2005, Bahagian Kapit hanya mempunyai 7 buah sekolah menengah. Apabila melangkah masuk ke tahun 2006, bilangan sekolah telah bertambah menjadi 8 buah. Sekali pandang seolah-olah hanya sebuah sekolah baru yang telah ditubuhkan, namun pada hakikatnya terdapat dua buah sekolah menengah baru yang telah membuka lembaran baru dalam catatan sejarah persada pelajaran Bahagian Kapit. Seperkara yang menarik di sini adalah kedua-dua buah sekolah baru ini mempunyai hubungan yang istimewa.
Salah sebuah sekolah menengah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit No.2. Kesemua staf akademik dan staf sokongannya dipindahkan terus dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun yang sebelum ini menumpang di tapak Sekolah Kebangsaan Methodist, Kapit sejak tahun 1999. Encik Henry Chai Yan Fui telah diberi mandat untuk memegang tampok kepimpinan sekolah baru yang tersergam indah di atas bukit kawasan Bleteh ini. Sekolah ini dibina di kawasan seluas 45 hektar dan telah menelan perbelanjaan sejumlah RM47.5 juta dalam pembinaannya. Pada masa yang sama, nama “Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun” tidak terus dilenyapkan begitu sahaja. Sebaliknya, sekolah ini telah memulakan riwayat barunya dengan nama yang sama di Sungai Asap , Belaga. Keadaan ini secara langsung membawa kepada penubuhan dua buah sekolah menengah baru di Bahagian Kapit seperti yang tersebut di atas. Dengan berpandukan moto “BERAKHLAK, BERILMU, BERBAKTI” dan juga slogan “REACHING FOR THE STARS”, warga SMK Kapit No.2 sentiasa berusaha gigih agar visi untuk memartabatkan sekolah ini sebagai Sekolah harapan negeri Sarawak Kategori Luar Bandar menjelang tahun 2009 akan membuahkan hasil. Semoga Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit No.2 mencapai kegemilangan berterusan dengan memperoleh kejayaan cemerlag sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan mahupun akhlak. |